Sunday, April 12, 2015

Bandar Layangkasa... antara impian dan harapan.

Assalamualaikum

Setelah lama bertapa dari dunia blogger, hari ini hati aku tergerak untuk menaip sesuatu yang terbuku dari lubuk hatiku yang paling dalam sekali. Melihat rakan-rakan, adik beradik yang sudah memiliki rumah bahkan sudah menduduki rumah sendiri, betapa hati ini rasa terkilan dan terguris dengan apa yang berlaku kepada rumah yang aku beli suatu ketika dulu. Walaupun rakan-rakan dan adik beradik ku membeli rumah selepas aku membeli rumah... isk... susahlah nak cakap. Senang cerita aku dulu yang beli rumah dari mereka-mereka tu. Namun, sehingga hari ini aku hanya mampu untuk melihat mereka menghias, merenovasi bahkan menduduki rumah impian mereka. Hati kecil ini semakin mengecil dek penangan pemaju yang kurang profesional Cahaya Bumimas Sdn Bhd.

Aku booking rumah ni pada tahun 2011 dan pernah membatalkan booking tersebut disebabkan proses pembinaan yang sangat perlahan. Namun pada tahun 2012 aku berpatah balik untuk membeli rumah tersebut pada harga yang sama ditawarkan pada tahun pelancaran 2011. Namun tahun 2015 aku berpatah hati kerana impian menggunung selama ini masih menjadi impian dan terus menunggu dengan penuh harapan. Ya! sehingga hari ini pemaju Cahaya Bumimas Sdn Bhd masih gagal untuk menyerahkan kunci rumah seperti yang dijanjikan. Bahkan sehingga saat ini pun aku tidak diberitahu bilakah tarikh sebenar kunci tersebut akan diserahkan. Sampai bila aku boleh mengharap. harapan yang belum tentu ada penghujungnya. Ditambah pelbagai masalah yang telah aku dan rakan-rakan pemilik rumah Bandar Layangkasa jumpai sewaktu lawatan kami ke rumah tersebut.

Aku pelik dengan pengurusan pemaju ni. Kalau nak minta bayaran boleh pula dia telefon kita. Contohnya dalam hal pembayaran deposit RM500.00. Boleh pula telefon. Tapi bila ada apa-apa masalah atau apa-apa isu, aku tidak diberitahu langsung. Alasan yang diberikan, telefon tidak dapat, kredit tiada. Jawapan yang sepatutnya diberikan oleh pelajar lembam tetapi tidak begitu tembam. Padahal semua rekod pembeli ada pada mereka termasuklah email pembeli. Justeru, sepatutnya mereka sekurang-kurangnya memberitahu status rumah tersebut setelah tempoh 'bertenang' tamat mengenai tarikh sebenar dijangka penyerahan kunci akan dibuat. Kini sudah masuk tempoh 'bengang' untuk semua pemilik Bandar Layangkasa kerana disajikan jawapan-jawapan yang tidak pasti dan jawapan-jawapan yang boleh makan hati.

Ada sebahagian dari kami yang sudah tidak tahan dengan desakan hidup seperti terpaksa membayar untuk rumah sewa dan juga rumah yang telah dibeli, bahkan ada juga yang terpaksa pindah rumah sewa lain disebabkan tuan rumah ambil balik atau dijual sedangkan rumah yang sepatutnya diduduki masih menjadi harapan yang tidak pasti. Aku juga terpaksa pindah dari rumah sewa pada penghujung tahun 2013 gara-gara rumah tersebut telah dijual. Mereka ini sudah menghantar surat memaklumkan yang mereka akan menghantar surat untuk bayaran ganti rugi rumah yang lewat diserahkan.  Namun pemaju Cahaya Bumimas Sdn Bhd seperti bermain layang-layang Wau Kikik di Bandar Layangkasa yang mana mereka sedia memutuskan tali apabila mereka rasa tidak mampu untuk mengawal Wau Kikik dari berterbangan bebas membelah awan yang sarat dengan komposisi busuk. Mereka ini di momokkan dengan surat untuk mendapatkan Deposit 10% seperti yang dicatat dalam S&P pembelian rumah tersebut. Sedangkan harga yang tertera dalam S&P adalah harga yang ditambah (Mark up) bagi memenuhi janji mereka untuk mendapatkan pinjaman 100% dari pihak Bank. Permainan mereka ini di sokong oleh pihak peguam pemaju Jaswant Singh & Associates yang berada di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru. Aku amat memahami bahawa peguam pemaju akan melindungi pemaju dalam apa isu sekalipun. Namun aku percaya, ada jalan dan lorong yang boleh diteroka dan Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang tertindas. Jika perlu, melalui jaringan rangkaian peguam dan juga kerajaan negeri mahupan Sultan Johor akan kami libatkan demi kesejahteraan bersama.

Berdasarkan pemerhatian dan risikan komuniti Bandar Layangkasa pihak pemaju masih gagal mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa tempatan. Semua syarat-syarat untuk mendapatkan kelulusan gagal untuk dipenuhi.Hingga saat ini pun longkang-longkang yang sepatutnya mengalirkan air keluar dari taman perumahan ini masih ditimbuni dengan sampah sarap pembinaan yang menggunung. Bahkan tanah dari bukit botak (Berhadapan Adana 1) dibawa oleh air hujan untuk sama-sama memenuhkan longkang dan cuba untuk berlumba-lumba melenyapkan longkang sedia ada lantas bakal mencetuskan fenomena 'Banjir Kuning' di Bandar Layangkasa suatu hari nanti.

Dalam pada itu, banyak kecacatan dikesan keatas binaan rumah tersebut. Antaranya keretakan dalam dan luar rumah, tombol pintu rosak, kesan kemasukan air dari tingkap bilik utama, cat yang pudar dan lain-lain masalah yang menggusarkan pemilik rumah di Bandar Layangkasa.

Buat masa ini, pihak pemaju Cahaya Bumimas Sdn Bhd hanya menyediakan 11 orang Bangladesh yang sasa dan kuat untuk kerja-kerja mengorek longkang dan membaik pulih kerosakan-kerosakan yang hanya boleh dilihat secara kasar bagi membolehkan mereka memperoleh kelulusan dari pihak berkuasa tempatan. Aku percaya, kerja-kerja ini hanya dilakukan seperti melepaskan anjing yang tersepit namun dikemudian hari anjing tersebut yang akan bermaharajalela dan menggigit seluruh taman perumahan ini.
 
Adakah kunci rumah akan diberi sekali dengan kunci Rumah PR1MA yang sendang rancak di bangunkan oleh pemaju yang sama. Benarkah projek Bandar Layangkasa Fasa 1 hanya sebagai ujikaji dan hasil yang terbaik hanya diterjemahkan dalam projek PR1MA Bandar Layangkasa? Adakah Cahaya Bumimas Sdn Bhd hanya diterajui oleh orang-orang melayu yang hanya dibayar elaun namun tidak dibayar untuk membuat keputusan? Dengan diterajui oleh orang-orang Melayu yang dibayar elaun ini maka mereka berhasil mendapatkan projek PR1MA Bandar Layangkasa?


Hari ini aku masih menunggu. Menunggu harapan menjadi pasti. Rumah impian tidak lagi dihati. Hanya harapan, harapan dan harapan....















Saturday, April 5, 2014

Cuti Jumaat & Sabtu.. membebankan...

Apabila terbit cerita-cerita mengenai cuti mingguan Jumaat dan Sabtu untuk Negeri Johor bermula 1hb Januari 2014 yang lepas yang dikatakan menyebabkan industri pelancongan, ekspo perdagangan dan lain-lain industri yang dikatakan terjejas, aku berpendapat ada satu lagi institusi yang paling penting terjejas dengan teruk. Pada aku institusi kekeluargaan yang selama ini terjaga rapi kini semakin kurang terbela kerana perlaksanaan cuti mingguan yang dibuat tetapi tidak mewajibkan sektor swasta untuk mematuhinya.

Sebagai seorang yang berkerjaya dalam sektor swasta, kebergantungan terhadap institusi perbankan dan korporat yang semuanya berpusat di ibu negara dan ada juga luar negara memaksa kami beroperasi hari Isnin hingga Sabtu sementara cuti mingguan pada hari Ahad. Isteri pula berkerjaya sebagai seorang pendidik dan anak sedang menempuh alam persekolahan. Justeru, hari apakah yang perlu kami penuhi untuk aktiviti ataupun saat-saat berkualiti bersama keluarga?

Majlis-majlis perkahwinan dan majlis kenduri kendara kini terjadual hari Sabtu, sedangkan dahulu banyak yang melaksanakannya pada malam minggu dan hari minggu (Ahad). Jika dahulu aku hampir tiada masalah untuk menghadiri majlis kenduri kendara di kampung, kini aku terpaksa mengambil cuti pada hari Sabtu semata-mata untuk menghadiri majlis tersebut. Secara tidak langsung, produktiviti untuk pekerja disektor swasta akan terjejas berikutan terpaksa mengambil cuti pada setiap hari Sabtu. Terutama disaat dan ketika ini aku memikul tanggungjawab untuk menghadiri majlis kenduri kendara setelah kematian ayah kami pada awal November yang lepas.

Cuba kalian fikirkan, aku cuti hari Ahad manakala isteri bercuti Jumaat dan Sabtu, bila agaknya masa yang sesuai untuk balik kampung? Tunggu cuti sekolah?. Walaupun kampung aku di Rengit (Batu Pahat) dan isteri di Parit Jawa (Muar) dan bukanlah jauh sangat dari tempat kami bermastautin (Johor Bahru) , namum perihal cuti mingguan yang tidak selaras ini menjadikan situasi ini sangat sukar untuk mereka yang mengalaminya. Jika dulu kami boleh balik ke kampung pada petang sabtu dan kembali semula ke sini pada petang Ahad, dan boleh balik kampung pada bila-bila yang perlu tetapi kini semuanya hanya tinggal kenangan. Buat masa ini, aku sebagai ketua keluarga terpaksa berkorban untuk mengambil cuti hari Sabtu sekiranya perlu untuk kami balik ke kampung. Kalau dulu aku ambil cuti hanya apabila ada hal-hal kecemasan atau pergi bercuti tetapi kini lebih untuk memenuhi tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah. Habis kalau cuti aku sudah habis dan dah cuti tidak dibenarkan lagi, apa yang perlu aku lakukan?. Ambil cuti tanpa gaji? atau bila akal sudah jadi pendek berhenti sahaja kerja. Nak jadi apa pula selepas itu?.

Jika dulu, kalau tidak balik ke kampung, aku dan isteri akan bersama-sama mengemas rumah, berjalan-jalan ke tempat-tempat rekreasi dan melakukan pelbagai aktiviti bersama, kini saat-saat itu sudah terkubur diganti dengan cuti mingguan yang tidak berkualiti untuk aku sekeluarga. Setiap hari Ahad aku dengan anak yang kecil termanggu-manggu menunggu isteri dan anak pulang dari sekolah.

Kesimpulannya, cuti mingguan ini amat menyusahkan kami yang berkerjaya dalam sektor yang berbeza dan menjejaskan masa-masa berkualiti bersama keluarga dan dalam jangka masa panjang akan mengundang perasaan yang negatif seterusnya menjadikan hidup porak peranda hanya kerana perbezaan cuti mingguan. Walaupun aku tidak yakin yang cuti ini di ubah semula kepada Sabtu dan Ahad, namun aku amat berharap agar Sultan Johor dapat memikirkan kesan jangka panjang terhadap majoriti keluarga yang terjejas akan perlaksanaan cuti mingguan Jumaat dan Sabtu ini. Alasan solat Jumaat tidak begitu relavan pada aku sebab aku bekerja pada hari Jumaat dan aku tidak mungkin balik kerumah semata-mata membawa anak ke masjid dan pergi semula ke tempat kerja kerana masa rehat yang terhad. Jika tidak dikembalikan cuti mingguan tersebut pun, aku berharap agar kerajaan negeri mewajibkan pihak swasta bercuti pada hari Jumaat ataupun Sabtu. Selaras dengan cuti mingguan sektor kerajaan. Sesungguhnya kesukaran ini membebankan kami. Seolah-olah tiada lagi cuti mingguan untuk kami. Aku sayang Johor... Luaskan kuasamu Johor...

Wednesday, February 12, 2014

Ptptn Johor

Untuk orang Johor yang masih berhutang dengan PTPTN, kini pejabat PTPTN beroperasi di Johor Bahru. Sudah tiadalah alasan untuk yang tak reti guna kemudahan pembayaran online. Boleh bayar tunai. Cuma bawa duit dan bayar.



Alamat PTPTN Johor :
No.17, Jalan Padi Emas 1/5
Bandar Baru Uda
Pusat Bandar Tampoi
81200 Johor Bahru

Lokasi terletak di belakang Jakel Trading. Juga berhampiran dengan kedai makan Upin & Ipin.

Sesiapa yang nak berurusan mengenai SSPN juga boleh datang mengunjungi pejabat PTPTN ini.

posted from Bloggeroid

Friday, June 28, 2013

Nissan Almera tak jimat minyak

Sejak akhir-akhir ini aku dapat rasakan yang kereta Nissan Almera VL yang aku guna agak tidak menjimatkan minyak. Tempat kerja dengan rumah tidak sampai 10km. Tidak perlu melalui atau meredah jalan yang jem. Cuma kadang-kadang kena berurusan disekitar Masai atau pun Pasir Gudang. Tapi minyak cuma dapat bertahan setakat 3 hingga 4 hari sahaja.


Bila isi tangki penuh cuma boleh pergi 351km sahaja. 

Bila hari kedua guna , bacaan boleh pergi dah jadi 294km sahaja. 

Isi tangki penuh tu pun masa nak balik kerja dan bacaan hari kedua tu selepas balik kerja. Rasa macam tidak logik sebab dikhabarkan jarak setangki penuh almera boleh mencapai jarak 600km. Iye, aku faham sebab aku bawa kereta untuk pemanduan dalam bandar yang memungkinkan banyak penggunaan minyak dan brek. Tetapi kenapa bila aku isi penuh bacaan meter tak mencatat 600km. Adakah disebabkan aku isi minyak di kawasan bandar. Tetapi kalau aku isi di pam minyak sekitar lebuhraya boleh tercatat 600 km pula. Mustahil. Aku bawa kereta pun bukanlah secara melulu. Slow & steady je. Jerebu juga rasanya bucan punca catatan tersebut. Mungkinkan meter digital tersebut sudah rosak? Hanya juruteknik Tan Chong sahaja dapat merungkainya. Tetapi ini bukan persoalan mudah kerana melalui pembacaan aku, masalah seperti ini seperti tiada penyelesaiannya. Atau sememangnya catatan tersebut memang catatan rasmi untuk semua kereta almera seluruh negara. Banyak persoalan bermain difikiran yang malas untuk aku fikirkan.

Untuk rekod, aku tidak membuat sebarang modifikasi kereta ini. Tayar standard saiz 15, rim sport pun tidak diganti walaupun rupanya agak tidak menarik perhatian aku. Untuk servis, kini sudah menghampiri servis ketiga iaitu 10,000 km. Aku pun ada terbaca dalam internet mengenai permasalahan ini. Tetapi kes tersebut berbeza dengan aku sebab mereka ada menukar rim dan tayar kepada saiz 17. Aku pulak apa kes?

Sekarang ni aku simpan sahaja kereta dirumah sebab sakit hati. Aku bawa kereta kancil yang tersayang tu pergi kerja. Lagi jimat minyak. Isi tangki penuh RM30 boleh sampai 4 atau 5 hari pergi dan balik kerja. Jimat kan?


Kalau ada sesiapa yang ada pengalaman mengenai perkara ini, diharapkan dapat memberikan komen yang dapat membantu mengurangkan kesakitan hati ini yang terguris dengan janji-janji manis yang telah dilemparkan kepada kami. Isk...

Monday, June 17, 2013

Kegagalan Laparoskopik batu hempedu

Ummi sekarang ni dah takde hempedu dah. Hempedu dah kena buang sebab sudah membengkak dan ada batu-batu yang sudah pecah yang boleh memudaratkan. Belum tau lagi apa kesannya atau keburukannya kalau dah takde hempedu ni. Aku percaya hempedu ni ada fungsi yang penting dalam tubuh badan kita. Setiap kejadian yang dijadikan itu pasti ada fungsinya yang tersendiri. Yang aku tau, hempedu ni berfungsi sebagai penapis atau pengurai lemak dan minyak. Oleh itu kalau hempedu dah tiada kerja-kerja hempedu akan diambil alih oleh hati dan jantung. Maka beban tugas yang dipikul oleh organ-organ tersebut semakin berat dan mudah untuk terjejas. Entah betul atau tidak kena buat kajian lagi.

Alhamdulillah pada dan 7.00 petang hari Jumaat 14/06/2013 Ummi telah selamat di bedah setelah melalui proses kegagalan Laparoskopic berikutan kesan kemalangan 7 bulan yang lepas. Pembedahan perut akibat kemalangan tersebut telah menghadkan fungsi laparoskopic tersebut yang mana banyak organ dan dan bahagian-bahagian dalam perut melekat dan hempedu tidak dapat dicapai dan dibuang melalui kaedah ini.

Justeru, Dr Lee, pakar bedah di Hospital Penawar Pasir Gudang telah membuat keputusan untuk membuat pembedahan atau belahan di bawah rusuk kanan untuk mengeluarkan hempedu tersebut bagi mengelakkan komplikasi lebih teruk kepada Ummi.

Hari ini dah masuk hari ke-5 Ummi duduk di wad Hospital Penawar Pasir Gudang. Nasib baiklah kami dilindungi insurans. Bayangkan kalau kami tidak dilindungi Insurans tapi perlu menempuh saat-saat dimasukkan di wad kecemasan Hospital Penawar yang memang terkenal dengan caj nya yang mahal. Mungkin masih ramai yang masih mengambil ringan keperluan insurans dalam kehidupan masa kini yang sangat terdedah dengan penyakit-penyakit yang tidak disangka-sangka akan kita hidapi bahkan sekiranya kita ditimpa kemalangan adakah kita bersedia untuk menerima khidmat Hospital Kerajaan yang terlalu sibuk dengan terpaksa menempuh kerenah birokrasi yang bukan semua orang mampu menghadapinya. Aku akan menulis mengenai peri pentingnya Insurans dalam kehidupan kita kerana aku telah mengalami saat-saat kecemasan yang tidak dijangka sama sekali dan insurans telah membantu aku sekeluarga dari dibelenggu hutang dan mendapat khidmat perubatan yang lebih baik berbanding Hospital kerajaan.

Semoga Ummi cepat sembuh dan semoga kami lebih tabah dalam menempuh dugaan-dugaan yang mendatang. Harapan aku, semoga kehilangan hempedu ini tidak mengganggu kesihatan Ummi dan kami boleh hidup dengan gembira dan membina kehidupan yang ceria.

Wednesday, May 22, 2013

Lidah Jin berbunga lagi...

Saban tahun pokok lidah jin yang aku tanam berbunga. Tapi tahun ni meriah sikit sebab ada lebih 5 pokok yang berbunga. Dulu tak pernahpun perasan pokok lidah jin ni boleh berbunga. Tapi bila dah tanam sendiri dan nampak perkembangannya barulah perasan pokok ni boleh berbunga.





Nampaknya memang tak misteri lagilah sebab memang setiap tahun pokok ni berbunga. Cuma mungkin setiap tahun pokok ni akan bergilir-gilir berbunga. Satu lagi, pokok lidah jin ni berbunga tidak sekata iaitu tidak berbunga dalam satu masa yang sama. Mungkin berganti-gantilah kot.
posted from Bloggeroid

Tuesday, May 21, 2013

Bandar Layangkasa

Bandar Layangkasa kini sedang rancak dalam pembinaan. Aku jangka peratusan siap 60% la kot.
Tapi jalan masih belum dibuat untuk taman ni. Mungkin tunggu pertusan siap lebih sikitlah agaknya. Fasa pertama Bandar Layangkasa kalau ikut jadual sepatutnya siap pada tahun ini. Tapi kalau tengok gayanya mungkin tahun depan baru siap.



Untuk fasa yang kedua, aku dapat cerita yang kerajaan telah membeli unit-unit tersebut untuk dijadikan unit rumah PRIMA. Harga yang dijangkakan melebihi RM 180,000.00. Masih beruntung untuk mereka yang membeli rumah Bandar Layangkasa ni untuk fasa yang pertama.

Tapi aku dengar, mereka yang membeli rumah Bandar Layangkasa ni sebelum pelancarannya dulu, harga yang ditawarkan lebih murah dari harga yang dilancarkan. Bayaran guaman untuk transfer fee & loan juga dikhabarkan jauh lebih murah. Mereka hanya perlu bayar beberapa ratus sahaja. Aku pulak kena bayar lebih kurang 5000.00. Banyak juga bezanya tu. Harga rumah pun beza banyak juga. Berbelas ribu jugalah bezanya. Aku cuma sedar adanya Bandar Layangkasa melalui poster pelancaran tahun 2011 dulu. Kalau tak memang tak taulah kewujudan taman ni.

Dikhabarkan juga, sebuah Hospital akan dibina di Bandar Layangkasa ni. Tapi tahun bila tak taulah. Rasanya mungkin 10 tahun lagi kot. Pembangunan sekitar kawasan Bandar Layangkasa ni nampaknya agak lambat. Mungkin bila dah ada orang yang tinggal kat sini barulah pembangunan tu lebih cepat.

Permasalahan besar yang akan dihadapi mereka yang tinggal di Bandar Layangkasa ni ialah dari segi jaringan jalanraya yang tidak efisyen. Bagaimana mereka yang bekerja di Masai, Seri Alam dan kawasan sekitarnya merempuh kesesakan jalan di Felda Cahaya Baru, Taman Scientex, Pasir Gudang dan Pekan Masai. Telah sedia maklum setiap pagi dan petang akan berlaku kesesakan jalanraya yang teruk di Taman Scientex dan Pekan Masai. Semoga kerajaan dapat memikirkan sesuatu untuk membantu menyuraikan masalah kesesakan ini dengan membina jalan-jalan alternatif yang lain.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...