Sunday, April 12, 2015

Bandar Layangkasa... antara impian dan harapan.

Assalamualaikum

Setelah lama bertapa dari dunia blogger, hari ini hati aku tergerak untuk menaip sesuatu yang terbuku dari lubuk hatiku yang paling dalam sekali. Melihat rakan-rakan, adik beradik yang sudah memiliki rumah bahkan sudah menduduki rumah sendiri, betapa hati ini rasa terkilan dan terguris dengan apa yang berlaku kepada rumah yang aku beli suatu ketika dulu. Walaupun rakan-rakan dan adik beradik ku membeli rumah selepas aku membeli rumah... isk... susahlah nak cakap. Senang cerita aku dulu yang beli rumah dari mereka-mereka tu. Namun, sehingga hari ini aku hanya mampu untuk melihat mereka menghias, merenovasi bahkan menduduki rumah impian mereka. Hati kecil ini semakin mengecil dek penangan pemaju yang kurang profesional Cahaya Bumimas Sdn Bhd.

Aku booking rumah ni pada tahun 2011 dan pernah membatalkan booking tersebut disebabkan proses pembinaan yang sangat perlahan. Namun pada tahun 2012 aku berpatah balik untuk membeli rumah tersebut pada harga yang sama ditawarkan pada tahun pelancaran 2011. Namun tahun 2015 aku berpatah hati kerana impian menggunung selama ini masih menjadi impian dan terus menunggu dengan penuh harapan. Ya! sehingga hari ini pemaju Cahaya Bumimas Sdn Bhd masih gagal untuk menyerahkan kunci rumah seperti yang dijanjikan. Bahkan sehingga saat ini pun aku tidak diberitahu bilakah tarikh sebenar kunci tersebut akan diserahkan. Sampai bila aku boleh mengharap. harapan yang belum tentu ada penghujungnya. Ditambah pelbagai masalah yang telah aku dan rakan-rakan pemilik rumah Bandar Layangkasa jumpai sewaktu lawatan kami ke rumah tersebut.

Aku pelik dengan pengurusan pemaju ni. Kalau nak minta bayaran boleh pula dia telefon kita. Contohnya dalam hal pembayaran deposit RM500.00. Boleh pula telefon. Tapi bila ada apa-apa masalah atau apa-apa isu, aku tidak diberitahu langsung. Alasan yang diberikan, telefon tidak dapat, kredit tiada. Jawapan yang sepatutnya diberikan oleh pelajar lembam tetapi tidak begitu tembam. Padahal semua rekod pembeli ada pada mereka termasuklah email pembeli. Justeru, sepatutnya mereka sekurang-kurangnya memberitahu status rumah tersebut setelah tempoh 'bertenang' tamat mengenai tarikh sebenar dijangka penyerahan kunci akan dibuat. Kini sudah masuk tempoh 'bengang' untuk semua pemilik Bandar Layangkasa kerana disajikan jawapan-jawapan yang tidak pasti dan jawapan-jawapan yang boleh makan hati.

Ada sebahagian dari kami yang sudah tidak tahan dengan desakan hidup seperti terpaksa membayar untuk rumah sewa dan juga rumah yang telah dibeli, bahkan ada juga yang terpaksa pindah rumah sewa lain disebabkan tuan rumah ambil balik atau dijual sedangkan rumah yang sepatutnya diduduki masih menjadi harapan yang tidak pasti. Aku juga terpaksa pindah dari rumah sewa pada penghujung tahun 2013 gara-gara rumah tersebut telah dijual. Mereka ini sudah menghantar surat memaklumkan yang mereka akan menghantar surat untuk bayaran ganti rugi rumah yang lewat diserahkan.  Namun pemaju Cahaya Bumimas Sdn Bhd seperti bermain layang-layang Wau Kikik di Bandar Layangkasa yang mana mereka sedia memutuskan tali apabila mereka rasa tidak mampu untuk mengawal Wau Kikik dari berterbangan bebas membelah awan yang sarat dengan komposisi busuk. Mereka ini di momokkan dengan surat untuk mendapatkan Deposit 10% seperti yang dicatat dalam S&P pembelian rumah tersebut. Sedangkan harga yang tertera dalam S&P adalah harga yang ditambah (Mark up) bagi memenuhi janji mereka untuk mendapatkan pinjaman 100% dari pihak Bank. Permainan mereka ini di sokong oleh pihak peguam pemaju Jaswant Singh & Associates yang berada di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru. Aku amat memahami bahawa peguam pemaju akan melindungi pemaju dalam apa isu sekalipun. Namun aku percaya, ada jalan dan lorong yang boleh diteroka dan Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang tertindas. Jika perlu, melalui jaringan rangkaian peguam dan juga kerajaan negeri mahupan Sultan Johor akan kami libatkan demi kesejahteraan bersama.

Berdasarkan pemerhatian dan risikan komuniti Bandar Layangkasa pihak pemaju masih gagal mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa tempatan. Semua syarat-syarat untuk mendapatkan kelulusan gagal untuk dipenuhi.Hingga saat ini pun longkang-longkang yang sepatutnya mengalirkan air keluar dari taman perumahan ini masih ditimbuni dengan sampah sarap pembinaan yang menggunung. Bahkan tanah dari bukit botak (Berhadapan Adana 1) dibawa oleh air hujan untuk sama-sama memenuhkan longkang dan cuba untuk berlumba-lumba melenyapkan longkang sedia ada lantas bakal mencetuskan fenomena 'Banjir Kuning' di Bandar Layangkasa suatu hari nanti.

Dalam pada itu, banyak kecacatan dikesan keatas binaan rumah tersebut. Antaranya keretakan dalam dan luar rumah, tombol pintu rosak, kesan kemasukan air dari tingkap bilik utama, cat yang pudar dan lain-lain masalah yang menggusarkan pemilik rumah di Bandar Layangkasa.

Buat masa ini, pihak pemaju Cahaya Bumimas Sdn Bhd hanya menyediakan 11 orang Bangladesh yang sasa dan kuat untuk kerja-kerja mengorek longkang dan membaik pulih kerosakan-kerosakan yang hanya boleh dilihat secara kasar bagi membolehkan mereka memperoleh kelulusan dari pihak berkuasa tempatan. Aku percaya, kerja-kerja ini hanya dilakukan seperti melepaskan anjing yang tersepit namun dikemudian hari anjing tersebut yang akan bermaharajalela dan menggigit seluruh taman perumahan ini.
 
Adakah kunci rumah akan diberi sekali dengan kunci Rumah PR1MA yang sendang rancak di bangunkan oleh pemaju yang sama. Benarkah projek Bandar Layangkasa Fasa 1 hanya sebagai ujikaji dan hasil yang terbaik hanya diterjemahkan dalam projek PR1MA Bandar Layangkasa? Adakah Cahaya Bumimas Sdn Bhd hanya diterajui oleh orang-orang melayu yang hanya dibayar elaun namun tidak dibayar untuk membuat keputusan? Dengan diterajui oleh orang-orang Melayu yang dibayar elaun ini maka mereka berhasil mendapatkan projek PR1MA Bandar Layangkasa?


Hari ini aku masih menunggu. Menunggu harapan menjadi pasti. Rumah impian tidak lagi dihati. Hanya harapan, harapan dan harapan....















LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...